Hobi kumpul senjata api

HOBI mengumpul senjata api kini semakin popular di kalangan penduduk di Amerika Syarikat (AS) walaupun negara itu mempunyai kadar jenayah berkaitan senjata api yang tinggi.Sebanyak 118 kematian dilaporkan setiap hari berkaitan dengan senjata api dicatatkan di AS sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk.

Pihak berkuasa menganggarkan sejumlah 200 juta senjata api pelbagai jenis dimiliki secara persendirian di negara yang mempunyai 300 juta penduduk itu.Senjata api bukan sahaja dimiliki oleh penjenayah atau pengedar dadah tetapi ia juga turut digunakan oleh pemburu dan pengumpul senjata api.

Keadaan itu menyebabkan Mahkamah Tinggi AS dijadualkan bakal menilai semula hak memiliki senjata api di negara itu pada 18 Mac ini.Seorang pengumpul senjata api, Alex Black berkata, dia memiliki senjata kerana menganggap ia sebagai satu ciptaan yang menakjubkan."Saya menyukai mesin dan meminati sejarah.

Sejarah ditulis dengan menggunakan senjata api," katanya.Dia menyimpan berpuluh-puluh senjata api yang terdiri daripada pistol separuh automatik, senapang, rifel dan mesingan dalam sebuah garaj di kediamannya.Salah satu koleksi kesayangan Black adalah sebuah mesingan antik yang dihasilkan pada tahun 1895 dan beberapa senjata ketenteraan daripada abad ke-19 serta abad ke-20.

Pesara bomba itu juga memiliki secara sah beberapa senjata api yang pernah digunakan ketika zaman Perang Saudara Amerika sehinggalah Perang Dunia Kedua.Seorang rakan baik Black yang juga seorang peminat senjata api, Lynn Kartchner menggambarkan hobi mengumpul senjata api seperti permainan golf.Dia juga memiliki sejumlah 100 senjata api pelbagai jenis untuk digunakan dalam pelbagai tujuan termasuklah berburu dan menembak di lapang sasar."Semakin kaya seorang pemain golf semakin banyak kayu golf yang dimilikinya," katanya."Anda mempunyai beberapa jenis kayu golf untuk keadaan tertentu seperti bola anda berada di rumput dan perangkap pasir," katanya.

Salah satu senjata api kesayangan Kartchner adalah selaras rifel antik buatan Winchester yang dikeluarkan pada tahun 1935."Ini adalah rifle terbaik pada zamannya dan anda boleh menembak bola golf pada jarak 100 meter," katanya.Kartchner dan Black berkata, mereka menyimpan koleksi berbahaya itu dalam satu tempat simpanan yang berkunci bagi menggelakkan sebarang kemalangan dan kecurian.

Mereka juga menegaskan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk memiliki senjata api bagi mempertahankan diri dan melindungi keluarga.Black berkata, dia menyimpan beberapa pucuk pistol termasuk sepucuk pistol separuh automatik di kediamannya untuk melindungi keluarganya.Kartchner pula memberitahu bahawa, dia menyembunyikan selaras senapang patah selaras automatik di bilik tidurnya dan sepucuk rifle berkuasa tinggi di sebuah bilik lain untuk mempertahankan diri. - Reuters



















No comments: