Tertelan gigi palsu kekasih

GEMAS: Kisahnya lucu, tetapi membawa pengajaran. Seorang Mat Rempit tertelan dua gigi palsu teman wanitanya ketika asyik bercumbu di sebuah pondok di ladang sawit di Felda Gugusan Palong, dekat Bahau, di sini.Pasangan terbabit sebelum itu menghidu gam bersama sekumpulan Mat Rempit selepas berlegar-legar dengan menunggang motosikal bersama kekasih masing-masing di kawasan berhampiran kira-kira jam 10.45 malam, Rabu lalu.

Menurut sumber, dalam keadaan ‘lalok’, kumpulan Mat Rempit itu mula bercumbuan hingga seorang daripada mereka yang berusia 19 tahun secara tidak sengaja tertelan gigi palsu kekasihnya yang tercabut.“Menyedari gigi palsunya tercabut, teman wanita Mat Rempit terbabit yang berusia 17 tahun panik lalu mencari-cari di sekeliling, tetapi gagal menemuinya.

“Ketika itu, Mat Rempit terbabit yang dalam keadaan khayal selepas menghidu gam memberitahu, dia tertelan gigi palsu itu,” katanya.

Katanya, pasangan itu bersama kumpulannya itu kemudian balik ke rumah masing-masing kira-kira jam 12.30 tengah malam.Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 pagi, Mat Rempit itu merasa perutnya tidak selesa.Bimbangkan keadaan kesihatannya, dia mengambil keputusan mendapatkan bantuan di sebuah klinik di Bahau bagi mengeluarkan gigi palsu itu.“Doktor yang memeriksanya memberitahu gigi palsu itu tidak dapat dikeluarkan lalu mengarahkan remaja itu pergi ke hospital untuk membuat imbasan X-ray,” katanya.

Sumber itu berkata, Mat Rempit berkenaan yang bimbang rahsianya diketahui umum pergi ke sebuah hospital swasta di Melaka untuk menjalani pemeriksaan X-ray kira-kira jam 11 pagi.“Doktor yang merawat Mat Rempit itu mendapati gigi palsu terbabit masih berada dalam perutnya dan memberi sejenis ubat cecair bagi mengeluarkannya ketika membuang air besar.“Kira-kira lima jam kemudian, dua gigi itu dapat dikeluarkan,” katanya.

Jumaat lalu, remaja terbabit dibenarkan pulang ke rumah sebelum menyerahkan dua gigi itu kepada teman wanitanya.

Gigi itu bagaimanapun dicampak gadis berkenaan kerana berasa geli.

Tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

No comments: